Assalamualaikum KC,
Cerita yang ingin saya sampaikan terjadi kira-kira pada tahun 2004 di kawasan Tampines. Kisah ini terjadi kepada suami saya selepas penceraiannya yang pertama. Suami saya tinggal seorang diri di rumah tiga bilik di Tampines Street 81. Selama suami saya tinggal bersendirian di rumah tersebut, banyak kejadian aneh yang telah terjadi padanya.
Suatu pagi seperti biasa suami saya bangun dan bersiap untuk ke kerja dan meninggalkan rumah dalam keadaan berselerak. Tetapi alangkah terperanjatnya dia apabila pulang ke rumah, katil telah siap dikemas dengan rapi dan rumah bersih seperti ada orang yang datang mengemaskan. Pada ketika itu suami saya dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah itu.
Setiap malam dia seperti dihantui bunyi-bunyi yang aneh dan bayang-bayang hitam, sehinggalah pada suatu malam semasa suami saya baru pulang dari kerja kira-kira jam dua belas malam. Sewaktu pintu lif terbuka, suami saya berjalan menuju ke rumah yang keempat iaitu rumahnya tetapi dari jauh dia terlihat satu susuk tubuh wanita berpakaian serba putih dan berambut panjang berdiri menghadap pintu rumah. Dengan pantas suami saya pusing semula dan turun ke bawah kerana terlalu takut. Dia duduk di kedai kopi dan menceritakan apa yang dia nampak kepada teman-temannya.
Alangkah terperanjatnya dia apabila diberitahu bahawa dahulunya tapak blok itu mempunyai cerita ngeri di mana sepasang suami isteri dan seorang anak mereka telah mati. Sepasang suami isteri ini menikam antara satu sama lain kerana mereka masing-masing mempunyai hubungan sulit. Si suami telah mengharamkan isterinya untuk menjejakkan kaki ke dalam rumah dan kerana sebab itulah makhluk yang di depan pintu tidak pernah dapat masuk ke dalam dan hanya dapat berdiri di depan pintu saja. Adakala anak2 saya yang tidur di ruang tamu rumah ternampak bayang2 putih berkeliaran dengan laju di depan koridor rumah.
Empat tahun kemudian pada tahun 2008, saya bernikah dengan suami saya dan pulang ke rumahnya bersama tiga orang anak saya. Saya tidak pernah diberitahu mengenai sejarah rumah itu kerana suami saya tahu saya ni penakut. Pada satu hari saya mengambil cuti setengah hari dan pulang ke rumah pada ketika itu cuma saya seorang sahaja di rumah itu kerana suami berkerja dan anak-anak bersekolah. Kira-kira sekitar pukul 3.30 petang, semasa saya sedang berdiri di tingkap dapur, tiba-tiba saya terdengar seperti ada suara yang menyergah saya dari belakang sebelah kanan. Apabila saya menoleh tiada siapa pun tapi saya tidak terfikir apa-apa.
Pada malam berikutnya, sewaktu saya sedang menggosok baju sambil menonton televisyen, anak perempuan saya yang berusia sebelas tahun telah ternampak seorang budak kecil sedang memeluk pinggang saya dari belakang. Anak saya ketakutan terus tidur dan menceritakan pada saya apa yang dilihatnya pada keesokan hari. Saya tidak menghiraukan juga kerana saya anggap mungkin dia bermimpi saja. Yang menjadi tanda tanya kepada saya ialah apabila kami sekeluarga keluar berjalan, suami saya pastikan bahawa kami sampai ke rumah sebelum jam dua belas malam. Apabila ditanya, suami saya tidak pernah menjawab. Kami tinggal di sana selama setahun dan berpindah ke Jurong pada tahun 2009.
Pada hari pertama kami jejakkan kaki ke rumah baru kami di Jurong barulah suami saya menceritakan tentang hal rumah lama kami di Tampines. Saya dan anak-anak mendengar cerita suami dalam keadaan ketakutan. Satu demi satu kejadian aneh yang telah kami sekeluarga lalui tiba-tiba seperti bermain di dalam fikiran saya. Sekarang barulah saya tahu semua kejadian yang kami lalui adalah dari sejarah masa silam tapak rumah itu. Ada yang menganggap mungkin dari sejarah rumah itulah maka sesiapa yang tinggal di sana akan mengalami pergolakan rumahtangga yang serupa. Syukurlah kami dah berpindah dan nasib rumahtangga kami tidak sedemikian.
Terima Kasih KC...
Zuliana
Kredit pada misteri jam 12 malam
1 ulasan:
Nasib baik tak tinggal lama kat rumah tu...kalau tak lagi naya jea...
Catat Ulasan