JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.
Pertama : Menunaikan
ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak
hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi SAW :
“Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara
keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan
Syurga”.
Kedua : Berpuasa pada
hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari
‘Arafah.
Dari Abu Sa’id al Khudri RA berkata : ‘Rasulullah SAW bersabda
maksudnya: “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah
melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh
tujuh puluh tahun” (Muttafaq ‘alaih).
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan
menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.
Ketiga :
Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala
yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa
hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh
hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya
diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu
‘Umar RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :
“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir
(Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”
.
Lazimnya kita memahami zikir-zikir ini disebut pada hari-hari raya
sahaja, tetapi dalam hadis ini menunjukkan kita disarankan untuk
membanyakkannya pada 10 hari pertama.
Imam Al Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah RA
kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan
diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli
feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca
pada hari-hari itu,
“[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu
Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”.
Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir
di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala
yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas
ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir
dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.
Keempat : Bertaubat
dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat
mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada
jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula
adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya
Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara
yang ditegahNya” (Muttafaq ‘alaihi).
Kelima : Memperbanyakkan
amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat
sunat, bersedekah, berjihad, membaca al Quran, menyeru kepada kebaikan,
mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan
pahalanya pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya
lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu
juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di
antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari
itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa)
dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
Keenam : Disyari’atkan
bertakbir pada beberapa hari yang raya mulia itu pada waktu siang atau malam
terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara
berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari
waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir
bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir
sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.
Ketujuh :
Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji
dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan)
Nabi Allah Ibrahim ‘AS setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah
menyembelih anaknya Ismail ‘AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan
seekor haiwan untuk disembelih.
Kelapan : Imam
Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda
:“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu
yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya
dari (memotong) rambut dan kukunya”,
Dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan
kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada
persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika
mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala,
maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan
ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu
sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya
adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk
isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan
tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian
terjatuh beberapa helai rambutnya.
Kesembilan
: Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari
raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas
selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah
dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan
kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
Kesimpulan:
Kita disunatkan berpuasa selama 9 hari dari 1 hingga 9 Zulhijjah,
jika tidak mampu puasalah berapa hari yg mampu, atau paling kurang pada hari ke
9. Jika tidak mampu melakukan semua, janganlah tinggalkan semua. Begitu juga
amalan-amalan lain yang disebut di atas.
Wallahu ‘Aklam.
Sumber
: http://johor.wanita.ikram.org.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan