04 Mac, 2011

Bercerai setiap 15 minit



T__T sangat menyedihkan...

Satu pasangan bercerai setiap 15 minit

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
 
PUTRAJAYA: Amat mengejutkan apabila kadar penceraian di kalangan pasangan suami isteri di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Mashitah berkata, beliau tidak menafikan ada peningkatan kes penceraian di negara ini setiap tahun, malah statistik pada 2009 menunjukkan setiap perkahwinan yang didaftarkan setiap hari pasti akan ada perceraian yang berlaku.

Beliau berkata, ada banyak faktor yang menyumbang ke arah penceraian pasangan suami isteri, antaranya suami atau isteri yang mengabaikan tanggungjawab dan tidak menjaga solat.
“Kita tidak dapat menafikan kelalaian menjaga solat menjadi punca kepada suami isteri mengabaikan tanggungjawab lain.

“Kalau tanggungjawab kepada Allah yang secara istiqamah (tetap) patut dilaksanakan lima kali sehari tidak dapat dilakukan, sudah tentu kita dapat membayangkan sukar untuk melaksanakan peranan mereka sebagai suami dan isteri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri seminar sempena Maulidur Rasul bertajuk Bagaikan Cinta Khadijah di Hati Rasulullah s.a.w, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz.

Lebih 1,200 peserta dari pelbagai kementerian menghadiri seminar, termasuk pakar motivasi terkenal tanah air, Datuk Dr Fadhilah Kamsah dan pendakwah, Datuk Dr Fatma Az Zahra.

Mashitah berkata, sehubungan itu pihaknya mempelbagaikan usaha dengan memperbanyakkan program ke arah memantapkan keluarga terutama kepada suami isteri ketika melayari rumah tangga.

"Selain itu, kita meningkatkan usaha dengan memberi pelbagai maklumat untuk memperkasakan lagi peranan suami isteri,” katanya.

Sementara itu, mengulas cubaan menghidupkan kembali ajaran Al-Arqam oleh Ummu Jah melalui penganjuran Sidang Parlimen Roh, Mashitah berkata Jakim terus memantau kegiatan itu secara lebih dekat bagi memastikan ia tidak menular kepada masyarakat.

“Perkara ini masih dalam pemantauan dan kita tidak boleh memberikan maklumat lanjut, tetapi kita mengikuti apa yang mereka lakukan.

“Tetapi apa yang perlu kita beritahu kepada rakyat adalah ajaran ini memang sesat dan salah, jadi tidak perlu fatwa lagi sebab ia jelas sebagai satu ajaran sesat,” katanya. “Jadi, kita meminta rakyat sentiasa berhati-hati dan tidak mengikuti ajaran yang sudah dimaklumkan mengenai kesesatannya,” katanya.


 






1 ulasan:

atty's berkata...

menjadi2 kes cerai sana sini ye..bukan artis je..