01 Disember, 2010

Kerna Kau Ada Part IV

“Zira, tunggu dulu!” Hijaz menarik tangan Zira.

Zira mematikan diri. Pandangannya dialihkan bila Hijaz berdiri tengah dihadapannya.

“Zira, nak pergi mana? Sudahlah Zira, lupakanlah cerita-cerita lama. Kita bina kehidupan baru.” Hijaz cuba memujuk.

“Tempat aku bukan disini. Biarkan aku pergi. Lagi lama aku disini, lagi tersiksa jiwa aku. Kau tahu apa?” Elzira menggetap bibir.

“Zira, inikan rumah Zira, rumah abang, rumah Zasyikin, rumah kita bersama. Semua dah lengkap Zira. Dah cukup sempurna. Abang mohon, janganlah tinggalkan rumah ni, jangan tinggalkan Zasyikin. Zira tak simpati ke pada dia?” Pujuk Hijaz.

Air mata mula mengalir dari mata Elzira. Sengaja tak dipandang wajah bayi di tangan Hijaz. Walau pun tidak pernah sekali dia menguruskan bayi itu, namun naluri keibuannya tetap ada.

“Zira, cuba Zira cakap Zira nak pergi mana?” pujuk Hijaz lagi.

Sepi seketika.

“Zira nak cari Amir. Abang tau tak kenapa Amir buang Zira? Abang tau tak?? Tau tak? Kerana dia, kerana bayi ni. Kerana dia Amir tinggalkan Zira. Abang tau tak betapa Zira cintakan Amir? Abang tak tau kan? Zira nak cari Amir. Zira boleh jadi gila bang kalau terus begini. Zira rindukan Amir. Rindu sangat-sangat bang.” Tangis sendu Elzira semakin kuat.

“Tapi Zira, bukankah Zasyikin ini bukti cinta kalian? Kenapa Zira nak menafikan kehadiran benih cinta kalian? Kenapa nak membuang dan menyisihkan bayi yang tak bersalah ni? Adilkah ini untuk Zasyikin? Adilkah?” Hijaz memainkan emosi Elzira

“Ye… dia memang bukti cinta kami. Memang dia bukti kasih sayang kami. Tapi dia juga menjadi pemisah antara kami. Zira benci dia. Benci. Zira pun benci abang sekali” Elzira terus berlalu keluar meninggalkan Hijaz dan Zasyikin.

Ternyata Hijaz gagal untuk memujuk Elzira dari melangkahkan kaki keluar. Hijaz meletakkan Zasyikin didalam buaian. Belum pun genap tamat tempoh berpantang, Elzira sudah meninggalkan bayinya.

Hijaz termenung mengenangkan kesanggupannya beberapa bulan dulu. Mengenangkan bagaimana Pak Daud datang kepadanya dengan berlinangan air mata menceritakan apa yang telah terjadi kepada Elzira. Bercerita tentang bagaimana luluhnya hatinya bila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh telah memberi aib padanya.

Hijaz hanya termenung ketika itu. Memberi ruang pada Pak Daud melepaskan segala yang terpendam dihatinya. Hijaz juga tidak menyangka sebesar itu dugaan yang diterima Pak Daud. Elzira yang dikenalkan ketika kecil amat jauh dengan Elzira yang dikenalinya ketika ini.

Namun, dalam pada Hijaz memberi ruang pada Pak Daud melampiaskan rasa hibanya, Hijaz terhenyak dengan permintaan yang tak disangka-sangkanya.

“Tolonglah Pak Daud, Hijaz. Pak Daud tau, permintaan ini terlalu sukar untuk Hijaz. Tapi percayalah, Pak Daud hanya mempercayai Hijaz. Pak Daud yakin Hijaz mampu membawa Zira ke jalan yang benar. Bukannya Pak Daud nak memberi sisa orang pada Hijaz, tapi Pak Daud dapat rasa, hanya Hijaz yang mampu mengubah Zira” tangan Pak Daud menggenggam tangan Hijaz, mengharapkan kata pasti darinya.

Hijaz tidak tahu mengapa ketika itu, kepalanya ringan menggangguk menyetujui dengan saranan Pak Daud. Sedangkan hatinya ketika itu bercelaru untuk menimbangkan perkara ini dengan sewajarnya. Pak Daud bukanlah siapa-siapa dengan Hijaz. Mereka hanyalah jiran sekampung yang rumahnya bersebelahan. Tapi perhubungan erat itu masih berterusan sehingga Hijaz menginjak kealam dewasa.

Genap sepuluh hari selepas persetujuan itu, Hijaz dan Elzira disatukan dalam majlis yang serba sederhana. Menangis Mak Uteh mengenangkan nasib anaknya yang cuma seorang itu. Sebagaimana Hijaz, begitu juga dengan Mak Uteh, redho dengan apa yang telah disuratkan.

Walaupun seminggu selepas pernikahan, Zira masih lagi tidak bertegur sapa dengan Hijaz. Zira merasakan bahawa pernikahan ini hanyalah menambahkan lagi beban didadanya. Kakinya ibarat dirantai ke bumi, manakala tanggannya ibarat diikat kelangit. Zira yang dulu dengan Zira yang berada di depan mata Hijaz adalah orang yang berbeza.

Azan Asar berkumandang. Hijaz tersedar dari lamunan diraup wajahnya. “Ya Allah kasihanilah hambamu ini. Jadikanlah dia jodoh yang terbaik untuk ku.”




Tiada ulasan: