18 Januari, 2011

Hulurkan tangan... ringankan beban

Tilam, bantal sudah berlubang

 "KEBANYAKAN katil yang ada sekarang sudah buruk, besi pengalas ada yang sudah patah dan bengkok kerana sudah lama tidak digunakan.

"Selain itu, tilam serta bantal juga banyak yang berlubang dan sudah tidak boleh digunakan lagi.

"Ia bukan saja boleh mendatangkan bahaya malah mengurangkan keselesaan penghuni. Namun apakan daya, kami tidak mempunyai dana yang cukup untuk mengganti atau membeli baru," demikian keluhan Timbalan Pengerusi Asrama Anak-anak Yatim Darul Taqwa (Asdat), Abdul Ghani Abdul Rashid.
Menurut Abdul Ghani, asrama yang ditubuhkan pada 2005 mulanya beroperasi dengan menyewa sebuah rumah kedai di Jalan Kuchai Lama sebelum berpindah ke Batu 7, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ia dihuni 15 pelajar lelaki dan 17 remaja dari seluruh negara manakala penghuni paling muda berusia tujuh tahun. Ia diuruskan empat kakitangan iaitu pengetua, Hashim Awang; warden perempuan, tukang masak serta seorang pengawal keselamatan. Lokasi sekarang jauh lebih selesa kerana ada tiga bangunan iaitu asrama lelaki, asrama perempuan serta pejabat pentadbiran merangkap bilik bacaan.

Katanya, asrama itu tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dan belas ihsan daripada orang ramai.

"Kami tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak walaupun pernah memohon dan pernah terjadi tabung asrama ini hanya tinggal beberapa ringgit saja.

"Memang perit kerana kami perlukan banyak wang untuk membiayai bil elektrik hampir RM1,000 sebulan selain perlu menyediakan wang saku harian serta rawatan perubatan.
"Suka atau tidak, kami perlu berjimat cermat bagi memastikan wang yang ada mencukupi untuk menguruskan asrama ini," katanya.

Menurut Abdul Ghani, pihaknya amat memerlukan sumbangan orang ramai bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penghuni asrama berkenaan.

Walaupun asrama lelaki dan perempuan boleh memuatkan sehingga 60 pelajar, kerana kekurangan katil, tilam, cadar dan bantal, pihaknya terpaksa menangguhkan terlebih dulu pengambilan baru.

Pihaknya sudah meluluskan 19 pengambilan penghuni baru tetapi terpaksa menangguhkan seketika kemasukan mereka kerana kekurangan peralatan.

"Asrama ini amat memerlukan sumbangan orang ramai dan syarikat korporat untuk membolehkan kami membeli kelengkapan tempat tidur pelajar dengan lebih sempurna.

"Kebanyakan katil yang diguna sekarang sudah uzur dan besi pengalas tilam ada yang sudah patah dan perlu diganti baru.

"Jika kemudahan berkenaan dapat diganti baru dan ditambah, asrama ini boleh menampung lebih ramai anak yang memerlukan bantuan seterusnya dapat menyambung pengambilan pelajar yang tertangguh itu," katanya.

Abdul Ghani berkata, asrama itu tidak mengambil sebarangan pelajar kerana hanya yang memenuhi kriteria saja akan diterima.

Terdapat kes yang mana ibu tunggal mahu menghantar anak ke asrama itu kerana bakal suami baru enggan menerima mereka.

Bagaimanapun, asrama itu tidak dapat menerima mereka kerana tidak memenuhi syarat.

"Asrama ini hanya mengambil pelajar daripada keluarga yang betul-betul susah dan tidak berkemampuan tetapi tidak semestinya anak yatim saja.

"Ini disebabkan ada anak yatim yang tidak susah seperti digambarkan, justeru kami akan menyiasat dengan teliti latar belakang setiap permohonan yang diterima," katanya.

Kata Abdul Ghani, pertubuhan itu amat memerlukan sumbangan orang ramai, terutama kelengkapan penginapan, makanan dan wang tunai dari semasa ke semasa.

Katanya, mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan kepada akaun Maybank bernombor 564445501431 atau hubungi 019-6176550.

sumber





Tiada ulasan: