11 Januari, 2011

Kerna Kau Ada Part VII

"Amir, Zira ada hal penting nak beritahu.  Hal sangat penting.  Boleh kita jumpa petang ni?" kedengaran suara Elzira di hujung talian.

"Heheheh, macam tak biasa jumpa.  Bukan ke tiap-tiap hari kita jumpa.  Apa yang penting sangatnya sayang?" gelak Amir bila mendengar permintaan Elzira.

"Memanglah, tapi Zira betul-betul nak jumpa Amir petang ni" resah dan gelisah suara Elzira memenuhi corong telefon.

"Okaylah, kita jumpa tempat biasa ye.  Amir tak boleh cakap lama ni.  Lagipun Amir tengah kerja,nanti bising pulak En. Bos.  Orang pun ramai. Kita jumpa jam enam ye sayang" janji Amir melegakan sedikit perasaan Elzira.

Elzira menarik nafas yang panjang.  Sebak, sayu, gementar menguasai dirinya.  Apa yang harus aku lakukan.  Tak tergambar bagaimanakah harus disampaikan berita ini kepada Amir.  Elzira yakin Amir akan memberikan tindak balas yang positif, kerana Amir benar-benar mencintai dirinya.

Elzira melangkahkan kaki yang gementar keluar dari klinik.  Hasil pemeriksaan doktor tadi benar-benar menyesakkan sanubarinya.  Langkahnya terasa ringan.  Hasrat hati ingin terus ke Badan Bookstore tempat dimana dia bekerja.  Tapi dengan keadaan dirinya ketika dan saat ini, Elzira tidak merasakan bahawa itu adalah tindakan yang bijak.

Elzira mengeluarkan telefon dan menghantarkan pesanan kepada rakan sekerjanya.  LIN, TOLONG BAGITAHU KAK JU, AKU AMBIL CUTI HARI INI, TAK SIHAT.

Ya  Allah, bagimana harus aku hadapi masalah ini.  Apa akan terjadi kalau ayah dapat tahu?  Apakah reaksi orang sekeliling.  Kepalanya kembali merasa pening.  Ada sesuatu yang berasak-asak ingin keluar dari kerongkongnya.  Entah kenapa sudah tiga hari Elzira merasakan sesuatu yang sangat asing baginya.  Dan hari ini, Elzira sudah memperolehi jawapan kepada perubahan-perubahan diri yang dialaminya.  Ketika ini tiada yang lain bermain di sarang jiwanya selain perasaan sesal. 

Setibanya dirumah Elzira terus merebahkan diri di atas katil.  Elzira lega kerana ayahnya tidak ada dirumah.  Ayahnya perasan akan perubahan kesihatannya baru-baru ini.  Tapi Elzira memberikan alasan bahawa dirinya sibuk ketika ini, kerana stok buku baru telah tiba.

Pening dan loya datang silih berganti.   Tangannya diletakkan di perut.  Bagaimanakah penerimaan Amir nanti?  Walaupun gentar, namun ada sedikit rasa gembira kerana benih Amir telah mula bercambah didalam rahimnya.

Elzira meluru ke bilik air bila rasa loya itu semakin menerjah ke tekaknya.  Terasa senak.  Elzira terbongkok disinki.  Kemudian menangis.  Segera membersihkan diri dan mengambil wudhuk.  Usai solat Zuhur, Elzira memanjatkan doa dan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, diatas pelbagai kemungkaran yang telah dilakukan. 

Berita yang baru diterima ini benar-benar membuatkan dirinya merasa insaf dan tersedar diatas segala kesilapan yang telah dilakuukan.  Elzira dapat merasakan betapa hancurnya nanti perasaan ayahnya.  Dibesarkan dengan cukup sempurna didikan agamanya, namun Elzira tetap juga terkeluar dari landasan yang sepatutnya. 

Namun begitu perasaannya tetap gelisah memikirkan bagaimanakah penerimaan Amir nanti?  Adakah Amir akan menerima dirinya dan benih cintanya ini.  Atau adakah Amir bakal meninggalkan dirinya sebagaimana cerita-cerita di dalam layar televisyen yang pernah dilihat.

Elzira memejamkan mata.  Jam di dinding baru menunjukkan ke angka dua.  Elzira akan bertemu Amir pada jam enam petang.  Elzira melipat telkung dan sejadah.  Kembali semula ke atas katil.  Perubahan ini benar-benar membuatkan dirinya lesu dan tidak bertenaga untuk melakukan apa-apa.

Tidak sabar rasanya menunggu petang.  Tidak sabar rasanya untuk menyampakan khabar ini pada Amir.  Elzira rasa berita ini tidak sesuai jika disampaikan melalui telefon atau pun pesanan ringkas.

Dalam melayani perasaannya Elzira tertidur.  Di dalam lenanya dia bermimpi hampir lemas di sebuah tasik.  Terlihat kelibat Amir disitu, tapi  Amir pergi meninggalkan dirinya tanpa ada rasa keinginan untuk menyelamatkannya.  Di teriak nama Amir berulang kali.  Hatinya lega bila terlihat satu kelibat manusia hampir untuk menyelamatkannya.  Namun orang itu bukannya Amir.  Siapakah dia?

Elzira tersentak dari mimpinya.  Bangun dan termenung di birai katil.  Apakah makna disebailik mimpi ini?  Jam di dinding sudah menunjukkan ke angka lima.  Agak lama juga dirinya terlena.  Elzira harus bersiap-siap segera.

Bersambung...

(Sila klik disini untuk membaca mengikuti kisah sebelumnya)

Tiada ulasan: