04 Februari, 2011

Fadhilat Bulan Rabiul Awal

Rabiulawal adalah bulan ketiga mengikut kalendar Islam. Rabiulawal bererti musim bunga yang pertama. Ia amat terkenal dikalangan masyarakat Islam kerana didalam bulan inilah Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dilahirkan iaitu pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi. Perlantikan menjadi Rasul pada 9 Rabiulawal bersamaan 610 Masehi dan kewafatan baginda Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam pada 12 Rabiulawal, tahun 11 Hijriah.

Sebagai Hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya dan Rasul-Nya hendaklah mengingati hari kelahiran Junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dengan memperbanyakkan zikir dan selawat tanda bersyukur kepada Allah diatas limpah kurnia-Nya mengutus Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam yang membawa manusia kejalan kebaikan dan menegah daripada jalan kejahatan. Kewajipan kita sebagai umat baginda ialah menyambung perjuangan baginda itu dengan menyeru manusia kepada jalan Allah dan menegah daripada perbuatan mungkar.

Firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam surah Ali-Imraan ayat 31-32:

Terjemahannya:
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad); "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir".

Tiada ulasan: